SILALAH CARI, SEMOGA JUMPA

Saturday, February 25, 2012

kemahiran bertutur BM


1.1       Pengenalan

“BAHASA JIWA BANGSA”
“CINTAILAH BAHASA MELAYU”
“BAHASA MELAYU BAHASA KITA”

Kerap kali kita dengar malahan, turut melaungkan slogan ini. Slogan ini adalah salah satu kempen kerajaan melalui agensi-agensinya untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Kenapa perlu kempen dan  perlu dimartabatkan Bahasa Melayu?

Menurut Abd Aziz Abd Talib (2000) di alaf baru ini Bahasa Melayu ditulis dan di gunakan oleh lebih 250 juta orang daripada 4000 juta penduduk Asia Tenggara. Kempen dan slogan-slogan ini perlu kerana tanpa kita sedar, Bahasa Melayu hari ini digunakan tanpa mengikut hokum keperluan situasinya atau nahunya. Kerana itu sebagai seorang guru, masalah-masalah dalam pembelajaran Bahasa Melayu perlu di atasi sedari awal usia pembelajaran kanak-kanak.

Proses penguasaan bahasa di kalangan kanak-kanak bermula dengan mendengar. Selepas itu mengajuk dan kemudian bertutur. Sehubungan itu, proses penguasaan seperti ini perlu di utamakan dalam pengajaran bahasa. Apabila mereka telah biasa dengan bahasa itu, barulah di perkenalkan tulisannya. Dengan itu lebih mudah untuk kanak-kanak menginterpretasikan lambang yang tertulis kepada lambang pertuturan. Ia bererti kemahiran lisan yang meliputi kemahiran mendengar dan bertutur perlu dikembangkan dahulu sebelum pelajar diajar membaca dan menulis.

Kemahiran mendengar ialah kemahiran paling asas dalam kelompok kemahiran berbahasa dan kemahiran ini berlaku di peringkat penerimaan (receptive level). Selepas itu Kemahiran bertutur, Kemahiran ini berlaku di peringkat “productive level”. Menurut Kamarudin Hj Husin (1990) ia tidak boleh dicipta oleh pelajar tetapi ia mesti ditiru dan diajuk. Kemahiran ini mempunyai integrasi yang rapat dengan kemahiran mendengar. Seseorang yang telah menguasai kemahiran bertutur yang baik akan dapat membuatkan pendengar memahami apa yang dituturkan dan seterusnya membuat penafsiran akan bunyian yang didengarnya.

1.2       Definisi
            Bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yang digunakan oleh manusia dalam keadaan semula jadi. Ahli falsafah, psikologi dan bahasa biasa menyatakan bahawa penguasaan bahasalah yang paling nyata membezakan antara manusia dengan binatang. Seseorang itu tidak boleh menguasai (atau menggunakan) bahasa asli tanpa penguasaan (atau penggunaan) sesuatu bahasa asli yang khusus.

Menurut Shrope (1979[1]) manusia bercakap kerana beberapa perkara iaitu bercakap untuk keseronokan, bercakap untuk tujuan memaklumkan, bercakap untuk tujuan mempengaruhi, dan bercakap untuk tujuan menyelesaikan masalah.

Kemahiran bertutur secara mudahnya bolehlah di definisikan sebagai kegiatan melafazkan bunyi-bunyian yang dilahirkan daripada alat-alat sebutan atau artikulasi manusia. Ia merupakan kemahiran berinteraksi dalam suasana berbahasa. Secara ringkasnya konsep pertuturan ialah gabungan bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan. Ia berlaku setelah penutur dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang didengarnya.

Manakala Pusat Perkembangan Kurikulum didalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kelas Peralihan mendefinisikan Kemahiran Bertutur sebagai keupayaan murid menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan di berikan kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang betul.


[1]               Ayne Austin Shrope (1979), Speaking and Listening: A Contemporary Approach. New York : Harcount Brace Jovanovich. Inc

No comments: